RINA ZUL: Hasil carian untuk motivasi
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut tarikh pertanyaan motivasi. Isih mengikut kaitan Tunjukkan semua catatan
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut tarikh pertanyaan motivasi. Isih mengikut kaitan Tunjukkan semua catatan

Sabtu, 3 Oktober 2020

Kisah Berhenti Kerja Bank Dan Jadi Owner Bisnes (Full Story - RIHURA)

11:08 PTG 5
Kisah Berhenti Kerja Bank Dan Jadi Owner Bisnes (Full Story - RIHURA)

 Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Syukur kepada Allah SWT yang kurniakan rezeki tanpa henti-hentinya buat kita semua sehingga ke hari ini. Alhamdulillah Allah kurniakan nikmat yang tak mungkin dapat kita bayar kembali melainkan syukur, solat dan sujud kepadaNya. Allah Maha Pemurah, Penyayang, Mengasihani hamba-hambaNya dan Allah menurut sangkaan hambaNya. Subhanallah.


Pada entry kali ini, Rina akan ceritakan Kisah Berhenti Kerja Bank Dan Jadi Owner Bisnes yang telah berlaku pada diri rina sendiri. Ini adalah kisah benar dan full story yang mungkin akan menjadi penceritaan sempurna dalam hidup rina untuk memacu impian dunia akhirat yang dibina, buat empayar Rihura, generasi akan datang, kawan2 semua dan juga seluruh masyarakat sejagat.


Jom baca kisah siapa rina, bagaimana rina berhenti kerja memulakan perniagaan sehingga bagaimana wujudnya Rihura.



Umur Dan Sebab Berkecimpung Dalam Bidang Perniagaan

Pada awal umur 18 tahun, Rina memang suka bidang perniagaan sebab waktu tu selalu dipengaruhi dengan seminar bisnes sana sini, selalu dapat flyers MLM hihihi dan pernah jela pergi dengar bab-bab MLM ni. Waktu umur 18 tahun tu, pasti kita ni cepat terpengaruh dengan cerita orang kaya-kaya ni, tapi apapun benda2 ni buat rina jadi positif pasal bisnes. Rina ada mindset dimana untuk bebas kewangan dan dapat income unlimited, seseorang tu perlu bina perniagaan. Itulah sebab rina minat sangat bisnes sejak umur 18 tahun.


Tapi kehidupan kita akan mengikut keluarga kita dalam masa kita membesar. Waktu tu, Rina sambung belajar di Uitm Jengka Pahang. Rina tinggal bersama mak, adik, akak dan tok di rumah kampung Penang. Itupun rumah tok, sebabnya sejak arwah abah meninggal waktu rina umur darjah 1 dulu, kami dari Ipoh Perak pindah duduk dengan tok dan membesar di Penang.


Mama bekerja sebagai seorang pembantu klinik swasta dengan gaji tak sampai RM1,000 pada masa tu.  Mama membesarkan akak & rina (sekolah asrama) serta 2 orang adik kecil pada masa tu. Tapi lepas akak habis spm, dia masuk Unisel, kemudian dia dapat kerja kerajaan, dia banyak bantu mama dan family kami. 



Tak Cukup Wang Nak Survive Di Universiti

Waktu tu Rina belajar di uitm Jengka dan belum dapat kemudahan Ptptn. Sepanjang awal semester tu, kadang-kadang duit kurang dan terpaksa makan megi ikut hari (beli 1 maggi RM4.50 dalam tu ada 5 paket). 1 paket 1 hari untuk seminggu. Cuba bayangkan sampai macamtu sekali la rina pernah catu. Kadang2 masak magi letak kuah banyak, makan separuh tengahari, nanti petang sambung makan lagi separuh. Tapi benda ni tak pernah rina cerita kat sapa2 pun, dan hari ini rina kongsi kat sini.


Semuanya sebab rina tak nak susahkan mak dan akak. Mereka dah banyak susah untuk Rina selalu. Bila ingat perkara ni, memang rasa nak menangis tapi inilah kehidupan dan cabaran kita. Itu hanyalah ujian kecil buat kita sebenarnya. Bagi rina, apalah sangat terpaksa tahan makan atau lapar tu, daripada orang lain yang banyak diuji lebih teruk dari ini.


Sebab itu, Rina punya minat berniaga tu bertambah-tambah, sebab rina dapat buktikan pada diri yang rina dapat duit bila dah start niaga online. Produk pertama rina jual adalah celak hashmi kajal pakistan. Bermula niaga di blog, mudah.my, facebook page. Akhirnya taktahu dari mana orang jumpa iklan2 tu, mula beli celak tu. Benda tu sedikit sebanyak bantu rina dapatkan duit poket. Seminggu boleh dapat dalam RM 15 - 50 untung bersih waktu tu memang rina syukur sangat. Lepas tu bertambah seminggu capai RM100. Bagi seseorang yang tak pernah bisnes online dan perlukan duit, pasti akan rasa syukur sangat bila dapat gitu.

Dekat kelas dalam uitm Diploma pula, rina ada jual pengilat kuku. Maklumlah kelas ramai pempuan dan pengilat tu pun rina beli kat kedai rm2 dan mydin jee jugak, sama cam celak tu. hehe. Contoh, modal rm2 tapi jual rm5-6.


Alhamdulillah dengan perniagaan sebegitu, maka dapatlah duit poket tambahan nak beli buku, makanan dan lain2 lagi. Tapi rina sangat berterima kasih kat mama dan kaklong sebab selalu support rina. Sebenarnya banyak juga duit-duit mereka tampung rina kat sana sebab risau tak cukup dan lain-lain. Selalunya duit mereka bagi tu rina utamakan untuk buat assignment, beli buku, internet, beli barang keperluan macam ubat gigi, sabun, biskut, makan.


Tamat Universiti Dan Mula Bekerja


Waktu graduate, Alhamdulillah dapat1st class dan dekan dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pejabat (Minor Business). Semasa praktikal job, rina telah bekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan banyak pelajari bab management.


Tamat praktikal selama beberapa bulan dan sudah grade, bermulalah kisah nak mencari kerja. Walaupun dalam hati ni minat bisnes, tapi tanpa ilmu rina sedar semua takkan menjadi kalau terus berniaga. Nak berniaga adalah secara serius, jadi mana mungkin tanpa ada ilmu dan pengalaman, terus boleh berjaya. Sebelum mula berniaga pun, bagi seorang fresh grade macam rina ni, mestilah kena ada pengalaman bekerja dulu. Barulah dapat belajar banyak perkara tentang syarikat.


Macam-macam kerja Rina apply di jobstreet dan akhirnya rina hadir Interview Maybank Terbuka sebagai sales Consumer Executive dan diterima bekerja di sebuah cawangan Maybank di Penang. Pasti ramai tertanya kenapa Rina belajar Office Management tetapi sanggup interview bahagian sales dan akhirnya bekerja sebagai Consumer Sales Executive? Tapi semua orang tak peduli pun, diorang dengar nama Maybank dia rasa kita kerja bank bestt dan hebat. Hehe.


Kenyataannya, bila masuk bidang sales ni ada target, ada sales nak kena fikir, kena power knowledge untuk produk bank dan macam-macam lagi. Memang rina challenge diri untuk masuk bahagian ini. Sebab waktu rina cari kerja dulu, rina cari kerja yang gaji tinggi untuk fresh grade, kebanyakan adalah dalam bidang sales dan banking. Nampak sangat memilih kihkih. Jadi kena la sanggup kalau betul2 nak!


Masuk Kerja Bank | Perubahan Hidup

Sebagai seorang fresh grad dalam bidang office dimana kitorang belajar bab mekap, bab setiausaha, kerja admin bagai.. tiba-tiba nak kena buat sales jumpa orang, sembang-sembang, cakap pasal produk bank.. waktu mula-mula memang agak kekok sebab tak biasa. Tapi lama-lama dah boleh follow rutin kerja tu dan happy sebab hari-hari dapat semangat dari bos, dapat belajar dari senior dan lain-lain lagi.


Walaupun banyak produk bank yang nak kena handle dan achive target tapi... Rina paling suka sangat fokus 1 produk ni iaitu kad kredit. Boleh dikatakan sales kad kredit ni memang boleh dapat lebih selalu. Selain tu, rina juga fokus untuk bahagian loan rumah dan asb.


Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Rina ingat boleh stay lama dekat tempat ni, tapi disebabkan sakit dada yang melampau sampai doktor sahkan ada acute respiratory, terlampau berfikir, stress. Rina pun fikir apalah sangat aku ni sampai sakit dada dan stress tu. Bahaya betul bila melibatkan kesihatan yang macam tu. 


Benda tu berlaku secara tiba-tiba, mungkin tak cukup rest agaknya atau rina jenis fikir banyak.

Sebenarnya sakit tu pada masa tu bukanlah satu sebab untuk rina berhenti kerja, cuma rina sedar pada masa tu, mungkin rina terlalu push diri nak jadi seorang sales person. Setelah hampir setahun bekerja, rina terdetik hati nak kembangkan kerjaya dalam bidang Kad Kredit sahaja, sama ada masuk card credit centre atau apa yang berkaitan.


Sehinggalah rina ditawarkan bekerja di salah satu Agensi Third Party Bank bahagian Kad Kredit, jadi itu adalah sangat bestt bagi rina sebab sebenarnya Rina percaya, untuk berjaya kita perlu fokus apa yang kita minat dan pakar.


Bahagian Kad Kredit Maybank


Apabila berkecimpung dalam bidang ini, Alhamdulillah everything go smooth. Kat sini pun buat sales tapi telemarketing, banyak sangat pengalaman rina dapat dari sini. Ilmu kewangan, marketing dan macam-macam lagi yang boleh rina guna dalam hidup ni. Sampai satu tahap, rina boleh buat sales kredit kad sehari lebih dari 10 - 18 kredit kad pernah pecah rekod la time tu dalam sehari hanya menggunakan call sahaja.


Selain call rina juga ada banyak database untuk customer yang have-have ni, jadi selain online, hari cuti kerja, rina juga ada jumpa orang yang nak daftar kad kredit. Cuma ini kadang2 risiko sikit sebab ada ja yang jenis suruh jumpa di Apartment dia dan lain2. Tapi alhamdulillah Allah mudahkan sebab waktu tu rina ada seorang kawan baik nama Ashraf (sekarang suami), dialah yang wajib teman rina jumpa semua client ni. 


Income kat sini pun best kalau sales banyak. Sebab tu rina sendiri dah setkan matlamat aku akan behenti kerja hanya kerana dapat better office dari syarikat lain yang basic 3k ke atas sehaja lepas ni atau untuk buka bisnes sendiri sahaja. Selain dari tu, aku takkan berhenti kerja. Boleh dikatakan itulah pegangan rina waktu tu.



Waktu tu rina baru je berkahwin, jadi suasana pun dah berubah. Tibaa-tiba Rezeki pada waktu tu bila dinaikkan pangkat jadi Team Leader dan mula belajar cara nak manage team sendiri. Alhamdulillah semua baik-baik. Tapi bila tanggungjawab bertambah, selalu archieve target balik jam 6 - 7 petang. tapi bila dah jaga team, balik dalam jam 8 - 9 malam. Suami yang balik kerja dulu, mertua yang masakkan makan malam. Rina pergi kerja awal pagi tak sempat tengok matahari, dan balik kerja pula pada malam tak sempat tengok matahari juga.


Paling rina rasa nak behenti kerja masa tu sebab rina kerap migrain sangat, pening, balik rumah je makan dan tidur. Kadang-kadang kesian kat suami macam dia pulak jaga rina untuk segala-galanya. Tapi waktu tu la rina mula kenali diri dia Alhamdulillah syukur sebab dia tatang macam minyak penuh, sangat2 supportive bagi rina.


Waktu dah kawen ni, ada suami, jadi terasa macam kan best kalau balik kerja 5 petang macam kerja office hour yang lain tu. Tapi kalau patah balik kerja macam tu, income pun dah takkan sama macam sebelum ni. Disebabkan tu, Rina cuba cari better offer yang membolehkan fokus kerja dalam waktu pejabat sahaja tapi apa yang rina jumpa memang tak berbaloi, tetap tak boleh sama macam gaji + komisen yang sedia ada waktu tu.


Berhenti Kerja tetapi Sebelum Tu...


Macam gila kalau fikir nak terus berhenti kerja tapi kenapa pula nak berhenti. Sekurang-kurangnya kalau dapat better offer, barulah berhenti. Ya, bila rina tengok kerja yang boleh balik jam 5-6 petang ni ada je , tapi itulah bila rina cakap dekat suami.. Suami tak kisah dia ok jer dan selalu bagi semangat kat rina. Tapi tiap kali rina nak go kepada kerja lain, mesti tak jadi sebab rina tahu tak ada kerja setakat ni yang rina dapat tu lagi better dari kerja sekarang.


Rina pun bagitahu suami pasal lama dah nak berbisnes tapi ok ke sebab rina cuma ada pengalaman kerja yang tak lama iaitu 3 tahun sahaja dalam sektor perbankan. Akhirnya suami bersuara dan bagitau, kalau nak buat bisnes, buat je. Pengalaman kerja memang penting tapi bila dah masuk dalam bisnes, pengalaman bisnes tu jugalah akan mengajar kita. 


Betul juga apa dia cakap tu, rina terfikir. Sebabnya kalau rina dah selesa makan gaji dan kerja sampai umur 30-40 nanti, waktu tu rina nak masuk bidang bisnes buat bisnes sendiri ni agak susah nak fikir, nak dapat ilham tu dan lain-lain. Kadang2 Allah bagi ilham kat kita dan boleh tarik balik macam tu sahaja. Cuma risikonya adalah rina akan jatuh teruk kalau tak buat sungguh2 lepas berhenti kerja ni. Ini aadaalah risiko sebab komitmen banyak dan besar. Beli kereta , ada ptptn dan lain2 lagi pulak tu! 


Tapi rina percaya Sekarang Allah tengah bagi ilham dan buka hati rina. Maksudnya, sekarang terbuka hati rina nak sangat buat bisnes dan fokus full time bisnes, cuma tulah rina macam terikat dengan kerja sebab ada hutang dan komitmen kereta. Tapi benda tu takkan buat rina tersekat untuk tidak capai impian nak bisnes tu. So rina perlu bersedia sebelum mula bisnes full time. Tu kuncinya.


Persediaan Berhenti Kerja Dan Mulakan Bisnes


Tak lama pun masa yang rina ambil untuk bersedia. Kalau diikutkan sebelum berhenti kerja kita kena buat simpanan gaji 6 bulan tapi pada masa tu rina cuma ada simpanan gaji 2 bulan sahaja. Waktu tu jugalah rina dah mula cut cost benda-benda yang tak penting sebab banyakkan simpanan. 


Dalam masa yang sama mula merangka apa perniagaan yang akan rina buat kalaulah tiba hari rina betul-betul nak fokus bisnes. Untuk pengetahuan anda, rina bercadang mulakan bisnes Ashrin Food iaitu sandwich borong. Kenapa dapat idea ni? Sebab sebelum berkahwin dengan suami, rina pernah dapat offer hospital untuk supply sandwich kat situ. Jadi rina nampak peluang market yang besar dalam bisnes makanan ni,. Apatah lagi bisnes kecil-kecilan ni pun sebenarnya kita boleh conquer pasaran kalau kita betul-betul buat.


Ini Terjadi Sebaik Sahaja Berhenti Kerja...Bisnes Sandwich!


Selepas berhenti kerja, rina betul2 mulakan bisnes ini. Waktu nak berhenti tu memang risau la adakah bisnes ni dapat tampung macam gaji rina dulu-dulu. Kedengarannya macam mustahil kan? Tapi rina percaya bisnes adalah long term dan boleh buat.


Sejak buat bisnes sandwich ni, Alhamdulillah kami sering terima order borong yang banyak seperti 100 - 3,000 sandwich. Jadi, untuk bisnes ni kami run dan fokus bisnes sandwich borong. Pembelian untuk 100 pax ke atas seluruh KL dan selangor. 


Bila buat bisnes makanan ni, tak cukup tangan, Rina hire staf-staf dari kalangan ibu tunggal dan jiran-jiran. Suami adalah orang yang tolong manage di sebalik tadbir walaupun dia bekerja. Jom tengok gambar, biar gambar yang berbicara. 





Rezeki Datang Alhamdulillah...


Memang susah kita buat banyak benda takut tak fokus. Tapi bila bisnes sandwich ni dah ada staff dan boleh run sendiri. Rina ada masa untuk manage benda lain.  Sebab tu ada yang tanya, macam mana rina ni jadi penulis walaupun ada bisnes? Ok, itu bermula dari sini:-


Dalam masa yang sama juga , ada orang offer untuk rina menulis dengan website mereka. Bayaran dia pun agak berbaloi sangat untuk sebulan. Memang mencecah gaji rina dahulu, sebabnya, bukan 1 client tapi 2 orang client buka tawaran ni dan alhamdulillah rina terpilih. Jadi, rina ambil job ini, ini salah satu rezeki menulis sebab rina ada pengalaman kerja bank memandangkan website mereka ni pasal kewangan dan sebagainya.


You all cuba bayangkan minda rina ni fikir berniaga, tiba-tiba rina jadi writer pula untuk beberapa website di Malaysia. Tapi, disinilah rupanya bermulanya kekuatan rina untuk menjadi seorang owner bisnes tu. Sebab apabila rina mula buat kerja freelance ni, dia adalah self employment iaitu kalau kita buat , kita dapat duit. Tak buat tak dapat. Kalau buat banyak, maka dapat duit banyak. Buat sikit, maka dapat sikit.


Bayaran sebulan tu mengikut berapa content rina siapkan dalam sebulan. So rina buat betul2 dengan job freelance ini sehinggalah sebulan pun pernah mencecah RM 4,000 hanya dengan menulis. Kiranya selepas berhenti kerja tu, freelance writer ni adalah job rina yang utama, kedua baru rina fikirkan bisnes. 


Kita merancang tapi sebenarnya perancangan Allah tu yang terbaik. Allah tak bagi rina terus buat bisnes sepenuhnya lagi rupanya. Tapi dia bagi rina belajar lagi, dapat skill kan diri dalam bidang penulisan dan marketing dulu.


Bisnes sandwich tu masih berjalan seperti biasa walaupun rina buat freelance menulis. Sandwich tu kami hantar di petrol station, kedai2, kiosk, universiti , sekolah dan lain2. Maklumlah waktu tu kerja menulis di rumah, so memang bisnes sandwich berjalan sekali la.


Semua Berkembang, Jadi Tak Mustahil



Sebenarnya, sejak rina menulis, rina banyak terima job penulisan lagi sehingga rina hire seorang kawan rina untuk menulis, sebab kalau rina nak tulis sorang-sorang memang tak sempat. Rina train dan ajar dia sehingga dia pun pandai menulis. Untuk job penulisan, dia adalah penulis rina, kiranya kami buat sama-sama. Bila dia banyak bantu, Alhamdulillah rina dapat leverage masa untuk buat benda lain juga. 

Inilah kawan rina yang rina ajar untuk menulis bersama

Rina terfikir, kalau job freelance pun boleh berkembang, rugi kalau tak buat bisnes sungguh-sungguh dan kembangkannya. job freelance tu pun dah dikira macam bisnes juga sebab kami bagi khidmat penulisan kat orang.


Pemilihan Bisnes / Perniagaan Untuk Berkecimpung


Kiranya pada bulan 12 2017 rina berhenti kerja. Jadi seorang freelance writer pada 2018 dan mengusahakan perniagaan Ashrin Food sepanjang 2018 dan 2019. Dan pada hujung tahun 2019 rina terfikir untuk membina sebuah perniagaan. Sebab waktu tu bisnes Ashrin Food hanya motif mengalirkan wang masuk, tak betul-betul grow atas jenama nya. Senang cerita, rina cuma buat bisnes tu sebab nak sara hidup semata-mata.

Tapi pada hujung 2019 tu rina tersedar bahawa untuk mendapatkan perniagaan yang berjaya, kita kena bantu orang lain, kita kena bina sistem, kita kena bina branding yang dapat bagi manfaat kat orang lain. Dan rina syukur sangat sebab rina sedar hal ini waktu tu. Kalau lambat lagi sedar, sampai ke sudah bisnes pun akan cukup-cukup makan je.


Rihura Wujud Kerana Delima....


Hujung tahun 2019 rina ada alami masalah hormon dan bila difahamkan, untuk selesaikan masalah rina iaitu hormon dan istihadah berpanjangan ni, buah delima elok dimakan selalu. Dari situlah rina cuba amalkan buah delima. Tapi agak susah hari-hari nak kena ada stok delima, delima kena kupas haha malas sungguh nak kupas. 


Ditakdirkan Allah SWT, suatu hari rina terjumpa dengan seseorang ni sangat pakar dalam bidang produk kesihatan. Dia bantu rina patternkan satu formula jus botanical delima, letak madu, kurma, pueraria mirifica (formula ini dicipta selepas tahu apa masalah rina nak selesaikan). Alhamdulillah maka dari situ terhasilnya Jus Aimra'a iaitu produk pertama keluaran Rihura. Dari situ juga Rina dapatkan satu nama untuk jenama yang rina bawa bagi membantu ramai wanita yang ingin sihat dalaman.



Rihura Herbs Enterprise adalah nama syarikat yang rina tubuhkan dan Rihura adalah jenama kami bagi membantu ramai orang diluar sana yang tertekan akibat was-was dengan diri sendiri, tak yakin diri serta yang tak tahu ada penyakit atau gangguan apa dengan diri dia.


Rihura Herbs Enterprise menjadi sebuah nama syarikat yang Rina pilih utk pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan. Ri adalah sempena nama saya Rina, dan Hura pula adalah dari nama gelaran seorang tokoh wanita Islam iaitu Sayyida Al-Hurra yang diberi gelaran ratu bajak laut kerana kekuatan perjuangannya (Al-Hurra bermaksud wanita berdaulat).



Masalah 'Gangguan' Mendatangkan Ilham Dan Penyelesaian

Selain amalkan jus Aimra'a, rina juga mula buat kajian tentang pemakanan sunnah sebab apa yang rina dapati sejak amalkan delima, kebanyakan makanan sunnah ni merupakan penawar banyak penyakit rupanya. Salah satunya kurma Ajwa.
Kalau kita rasa badan ada gangguan, kurma Ajwa Madinah dapat mencegah segala gangguan syaitan terutamanya sihir, santau, saka dan lain-lain. Jadi, rina beli kurma ajwa untuk makan saja-saja untuk kesihatan diri dan untuk elak sebarang gangguan. Tapi tula bila dah beli kat shopee, tak sangka pula bila kurma tu sampai.. rupanya kurma ajwa ni rasa macamtu, sedap tapi mahal, macam tak puas la makan tu.


Beberapa bulan kemudian, bapa mertua rina nak ke Mekah tunaikan Umrah dan rina kirimkan dia beli kurma Ajwa Madinah. Bila dibawa balik, MasyaAllah rupanya sedap, moist dan best la makan. Tak terlalu manis dan sangat-sangatlah berbeza daripada yang mula-mula rina beli tu. 


Kenapa berbeza? Banyak orang yang rina tanya dan sumber yang rina dapat dari Madinah, rupanya sekarang banyak sangat kurma Ajwa palsu dan tipu. Kurma Ajwa yang ditanam di negara lain seperti Yaman, Iran, Tunisia tetapi dikatakan ditanam di Madinah. Ciri dan harganya tak sama, kalau di Madinah ni korang kena tau apa ciri-ciri Kurma Ajwa Asli Madinah ni, baru beli.


Sejak haritu, rina cuma beli dengan pembekal dari Madinah sahaja untuk makan saja. Cuba korang bayangkan, sanggup rina beli untuk makan sorang-sorang dari pembekal kurma Madinah. Rasa macam tak percaya sangat lah kurma ajwa kat pasaran ni ..Ada yang jual sekilo RM 55 - 75, itu semua auta, kemungkinan bukan ditanam di Madinah. Inilah info sahih rina terima daripada seorang supplier Madinah yang rina kenal. Dia yang bantu rina dalam dapatkan kurma Ajwa yang betul-betul Asli ditanam di Madinah. Alhamdulillah.

Abaikan celak tercomot tu. hehe.

Masalah Selesai, Bantu Orang Lain Juga

Pada bulan Mac 2020, Allah hadirkan satu petunjuk untuk rina supaya banyakkan buat benda bermanfaat dalam hidup ni, sebab hidup ni tak lama. Tu je yang rina fikir satu hari tu.Tapi, kenyataannya macam mana lagi cara rina nak bantu orang sebabnya rina bukanlah jutawan pada masa tu untuk sedekah banyak-banyak. Itu mindset rina waktu tu. Walaupun sedekah dengan apa yang ada je, tapi kalau sedekah sahaja rina rasa tak cukup.


Allah Maha Baik sangat sebab rupanya dia nak dorongkan rina untuk bantu orang selesaikan masalah mereka alami juga. Macam rina dulu beramal makan kurma dapat selesaikan masalah, insyallah mereka pun boleh juga. Tapi mereka je yang taktahu kurma Ajwa tu pengubat bagi pelbagai penyakit.


Akhirnya, rina buat keputusan untuk bantu orang lain dengan sharing manfaat kurma Ajwa Asli Madinah. Ajwa Asli Madinah adalah buah kurma Ajwa asli dari tanah Madinah, dari pembekal kami yang berpengalaman sejak tahun 1990-an lagi. Dan untuk pengetahuan anda semua, Rihura (syarikat rina) provide kurma Ajwa yang 100% asli dari Madinah, kami ada sijil Certified Origin dari Arab Saudi, kualiti premium dan eksport (antarabangsa). 

Inilah kurma Ajwa Asli Madinah keluaran Rihura :) Alhamdulillah.

Rina nak pastikan masyarakat yang perlukan Kurma Ajwa ni betul-betul dapat kurma Ajwa yang original , asli dari Madinah Al Munawarah. sebab kadang-kadang orang jual kurma ajwa ni cakap ajwa madinah tapi sebenarnya ajwa mereka di tanam di yaman. Kenapa penting cari yang Madinah ? Sebab hanya kurma Ajwa asli dari tanah Madinah ada keberkatan Nabi SAW. 

Inilah Perniagan Sebenar 


Alhamdulillah sepanjang 2 tahun rina sudah berhenti kerja, inilah perniagaan sebenar yang rina bina iaitu Rihura. Perasan tak, tak semestinya kita berhenti kerja , terus mula bisnes tu terus berjaya? Pasti kita akan gagal atau ambil masa untuk belajar dulu kan? Bisnes sandwich rina mula-mula tu cuma try n error, buat sendiri, tak ada ilmu perniagaan tapi belajar sendiri sahaja.


Tapi lepas 2 tahun barulah rina buat bisnes yang sebenar, ada mentor yang betul untuk tolong guide apa perlu dibuat dalam bisnes dan apa yang tak perlu buat. Perniagaan yang sebenar adalah bila mana ia ada sistem yang efektif dan perniagaan tu boleh berjalan dengan baik membolehkan kita bantu orang lain seperti pelanggan, staf kita dan lain-lain. 


Kalau sekadar kita bisnes untuk duit cukup2 makan, asalkan ada duit. Tu sebenarnya kita menjual, bukannya berbisnes.. Tapi untuk dapatkan bisnes yang bagus kita harus melalui fasa sebelumnya dulu.. iaitu kita kena jual dan buat duit dahulu. Pada mulanya memang amat struggle sebab itu pentingnya ilmu dan circle kita, siapa orang disekeliling kita yang sentiasa ada untuk support kita.


Kalau kita seorang yang motivated person, tak mudah down dalam kehidupan dan perniagaan, pasti lebih mudah untuk kita bangkit dan berjaya. Tapi kalau kita perlukan sokongan dan dorongan, kita kena ada inspirasi, motivasi dan mentor yang betul. Belajar dari mereka yang telah berjaya. Kawan dengan mereka yang sudah berjaya. Itulah circle terbaik untuk kita berbisnes.


Perbezaan Bekerja Dan Buat Bisnes Sendiri



Pada mulanya kita fikir, kerja sendiri ni senang. Ia memang senang tapi kalau senang, kerja kita tak berjalan. Tapi kalau kita fikirkan di luar kotak, banyakkan idea dalam perniagaan, buat apa orang berjaya buat, kita takkan sempat nak rasa senang pun. Sebab setiap hari kita belajar benda baru dan ada cabaran.


Paling penting, bila kita buat bisnes sendiri ni, kita kena pastikan personal energy kita gila tinggi. Kalau energy kita down, tindakan kita pun akan pengaruhi kejayaan kita pada hari itu. Kalau kita kerja makan gaji, kita buat sambil lewaa atau sungguh-sungguh pun gaji kita tetap sama. Tapi kalau kita bisnes, lebih kuat kita bersungguh-sungguh, lebih mudah kejayaan kita capai.




Rina pegang dengan kata-kata ini.

Man Jada Wajadda
Siapa bersungguh-sungguh, pasti akan berhasil


Maka, niat paling penting sebelum kita mula sesuatu perniagaan, setkan matlamat yang jelas dan mulakan dengan tindakan yang konsisten. Insyallah pasti akan berhasil. Apabila sudah mula bisnes, jangan sesekali mengalah atau patah balik. Jika kita down dan gagal, tak apa, terus cari ilmu yang betul. Belajar dengan mereka yang betul berjaya dan proven success. Insyallah semuanya baik-baik. 


Akhir Sekali, semoga kisah ini bermanfaat buat anda semua.

Doakan Rina dan Rihura berjaya dunia akhirat. Semoga kami dapat bantu ramai lagi orang diluar sana untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan kejayaan dalam hidup. Terima kasih semua.

*****

Sesiapa yang berminat menjadi sebahagian dari Team Rihura, boleh personally contact Rina.
Klik Whatsapp di sini.

*****

Berminat join Group Whatsapp sembang bisnes? Join Group di Sini. 


Terima kasih sudi baca kisah berhenti kerja bank dan jadi owner bisnes ini. Jom baca juga Persediaan berhenti kerja, Capai 5K Sebulan Dengan Menulis dan Cara Bahagikan Masa Kerja Dan Berbisnes.

Sabtu, 25 Januari 2020

15 Cara Mengembalikan Mood Bekerja Hari Isnin

8:36 PTG 2
15 Cara Mengembalikan Mood Bekerja Hari Isnin
Aduh, malasnya nak pi kerja setiap kali hari isnin! kannn? Siapa tak pernah ada perasaan malas dan gentar sebegitu. Tidak ada satu sebab pun, tapi perasaan tu tetap hadir pada hari ahad. Kalau boleh, ahad tu dah tak bermaya dah sebab asyik fikirkan esok hari isnin.

Sis pun pernah ada rasa macam tu, Masyallah, memang rasa malas sangat dan tak ada mood nak pi kerja hari isnin tu. Tambah-tambah pagi isnin tu, bila bangun tidur je, dah rasa malas dan terpaksa pergi kerja. 

Tak fikir pasal apa nak buat di tempat kerja lagi, kalau fikir pasal tu pasti rasa stress yakmat. Aduhai. Rina rina, kenapalah selalu rasa macam ni. Masalahnya, bukan sis sorang je rasa macam ni, korang pun rasa macam tu kan?


Hasil carian imej untuk kerja isnin


JANGAN RISAU...


Rupa-rupanya terdapat cara mengembalikan mood bekerja hari isnin ramai yang patut cuba. Dengan cara ini, mungkin korang akan rasa perbezaan mood dulu dan sekarang setiap kali hari ahad atau nak melangkah ke kerja pada hari isnin tu.

Fuhhh, Apakah cara mengembalikan mood bekerja hari isnin? Jom lihat dan teruskan baca di bawah.


Imej yang berkaitan


#1 Fikirkan Matlamat Anda


Ya, cuba anda fikir bahawa anda akan naik pangkat atau jadi pekerja terbaik. Pasti anda berasa amat bersemangat untuk ke pejabat bukan? Dengan mempunyai 1 matlamat, ia dapat mengembalikan mood bekerja hari isnin anda dengan mudah. 

Terinspirasi untuk bekerja pada hari isnin tanpa malas, tetapi lebih bersemangat semula. Anda juga akan mula berfikir apa kerja yang akan anda lakukan pada hari isnin tersebut.

#2 Nak Pujian Bos


Ini memang membuatkan anda sedikit perasan dan macam nak angkat bakul sendiri je. Bila fikirkan nak buat sesuatu yang terbaik supaya dapat pujian dari bos, automatik anda akan rasa nak pergi kerja isnin tu.

Rasa tak sabar nak ke kerja dan buat yang terbaik. Inilah rahsianya. Kita fikir nak jadi yang terbaik dan dapat pujian dari bos! Inilah cara mengembalikan mood kerja hari isnin anda.


#3 Berfesyen Gaya Baru


Jika anda suka berfesyen, mencantikkan diri ataupun memakai tudung yang pelbagai jenis cara atau fesyennya, pasti anda tak sabar nak ke kerja esok. Sebab dapatlah anda memperagakan fesyen tudung terbaru anda.

Bagi mereka yang suka mekap pula, cara mengembalikan mood bekerja hari isnin ini boleh anda lakukan dengan mengaplikasikan cara mekap yang berbeza. Tak sabar lah tu nak ke kerja, sebab nak mekap-mekap gaya lain pula hari ni kan?

Imej yang berkaitan


#4 Fikirkan Ganjaran Yang Akan Diperoleh


Jika betul-betul rasa malas nak ke kerja setiap isnin dan tiada mood, fikirkan semula apakah ganjaran yang akan anda peroleh. Sebagai contoh, anda boleh fikirkan bahawa gaji sehari anda adalah RM 120 sehari. Jadi, nak tak nak, anda harus terus ke kerja pada hari isnin tersebut! Nak dapat basic salary yang cukup, kena jaga attendance sebaiknya.


#5 Makan Banyak-Banyak 


Makan banyak-banyak pada pagi hari tersebut. Pastikan anda sarapan sama ada nasi lemak, nasi goreng atau apa sahaja yang anda mahukan. Jangan biar perut kosong. Makan banyak-banyak dapat menggembirakan hati seseorang menurut fakta. Jadi, tak perlu risau, makan banyak-banyak merupakan cara mengembalikan mood bekerja pada hari isnin.


#6  Menonton Video Atau Hiburan


Sebelum ke kerja, tontonlah hiburan seperti video lawak, parodi, baca komik online dan sebagainya asalkan ia membuatkan anda terhibur dan tergelak pada pagi itu. Apabila gembira atau tertawa, hormon tubuh akan dirembes dan membuatkan anda bersedia serta bertenaga untuk ke kerja sepanjang hari tersebut.


#7 Bangun Awal


Bangun awal dapat mengembalikan mood bekerja untuk hari isnin. Jika anda bangun awal, anda akan ada masa yang lama untuk bersedia sebelum ke kerja. Malah, anda boleh solat subuh, tahajud dan baca Al-Quran untuk santapan rohani juga.


Imej yang berkaitan


#8 Bersyukur Dan Percaya Pada Rezeki Allah SWT


Syukurlah anda diberi peluang untuk ke kerja lagi. Terapkan dalam diri akan keyakinan terhadap rezeki yang diberi Allah SWT. Pasti tiada lagi alasan untuk anda bermalas-malas ke tempat kerja pada hari isnin.


#9 Berbual Dengan Orang Positif


Jika rakan positif, berbuallah dengan mereka. Pasti nasihat dan ayat-ayat positif yang akan anda dengar. Sekiranya kurang pasti siapa yang bersikap positif, apa kata anda buka sahaja Youtube dan tonton video motivasi dan inspirasi mereka yang berjaya.


#10 Senaraikan List To Do


Sebelum mula kerja, jika boleh dari malam sebelumnya, anda harus senaraikan list to do atau apa kerja yang perlu anda buat esok. Senaraikan dalam kiraan: 1,2,3 dan seterusnya. Hal ini penting bagi memudahkan anda melihat tidak sukar dan tidak banyak rupanya kerja harus anda lakukan. Dengan cara ini, pastinya dapat mengembalikan mood kerja hari isnin buat anda.


#11 Bersihkan Workstation


Jangan lupa bersihkan tempat kerja anda terutamanya workstation anda. Pastikan meja dan kerusi dalam keadaan yang baik, bersih dan kemas. Kalau boleh, hiaskan atau letakkan gambar dan doa harian untuk mengindahkan lagi mood anda ketika bekerja.


Imej yang berkaitan

#12 Selesaikan Masalah Kerja Anda


Ada orang tiada mood ke kerja pada hari isnin kerana mempunyai masalah kerja. Apakah masalah anda? Kenal pasti hal itu, kemudian selesaikannya dengan bercakap atau berbincang dengan supervisor, team leader atau kawan-kawan anda jika perlu. 

Percayalah, setelah masalah tersebut diatasi, pasti mood kerja anda akan elok dan seronok bekerja walaupun hari isnin.


#13 Bersedia Dari Jumaat Lepas


Ya, anda harus bersedia dari jumaat lepas lagi. Barulah tidak nervous untuk ke kerja pada isnin seterusnya. Jika tidak bersedia, anda akan celaru memikirkan terdapat kerja tertunggak dan masalah yang belum diselesaikan.


#14 Enjoy Hujung Minggu


Enjoy pada hujung minggu adalah cara mengembalikan mood bekerja hari isnin ramai tak tahu. Enjoylah sepuas-puasnya pada hari anda bercuti! Dengan itu, jiwa anda akan menerima bahawa jika hari bekerja, anda juga harus bekerja sungguh-sungguh.


#15 Tidur Awal, Jangan Lambat


Jika tidur awal, pasti akan segar dan bangun awal. Jika tidur lewat, anda bukan saja kurang oksigen, tetapi mood juga tidak menentu. Bagaimana mahu lalui hari pertama bekerja? Pastikan anda tidur awal dan cukup tidur okey!

=-=-==-=-=

Itulah dia 15 cara mengembalikan mood bekerja pada hari isnin yang anda harus tahu. Jangan main-main, ikuti cara-cara ini supaya anda benar-benar suka bekerja dan tidak lemah lagi setiap isnin! 

Rinazul,
Bercakap dari pengalaman.

Khamis, 5 Disember 2019

6 Tips Berubah Menjadi Lebih Baik [Insyallah Berkesan]

8:40 PG 0
6 Tips Berubah Menjadi Lebih Baik [Insyallah Berkesan]
Setiap orang pasti pernah melakukan kesalahan. Ia adalah semulajadi kerana sememangnya sebagai manusia, kita tidak boleh lari dari melakukan kesalahan. Maklumlah, kita bukanlah manusia sempurna (ketap bibir). Sebenarnya masalah ini agak berat sebab kita bukanlah manusia terbaik tetapi perlu sering berusaha untuk menjadi lebih baik.

Tetapi sebagai orang yang beriman, kita harus cuba untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Sempena 2020 ini, marilah kita sama-sama ubah minda, mindset, tindakan kita untuk menjadi seorang yang lebih berguna dan lebih baik.

Jika anda membuat kesilapan, maka anda harus bertaubat kepada Allah S.W.T. Manusia wajib menjalani kehidupan yang lebih baik. Kerana Allah tidak akan mengubah keadaan hamba-Nya sehingga ia berusaha untuk mengubah dirinya sendiri.

]إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ[
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (TQS. Ar-Ra’d [13]: 11).

Itulah bukti dan firman Allah SWT yang telah tercatat dalam Al-Quran, Surah Ar-Rad. Ketika masih diberi peluang untuk hidup, marilah kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik. Tidak ada ruginya, malah kita sendiri dapat keuntungan dunia akhirat.

Terdapat beberapa tips untuk berubah menjadi lebih baik yang akan sis kongsikan di sini. Semoga dapat memberi manfaat kepada anda semua.


1 - Memperbaiki Niat

Apa sahaja dalam hidup ini pokok pangkalnya adalah dari hati kita. Allah sentiasa tahu apa yang terbuku di hati kita. Sekalipun kita jahat, dan ingin menjadi lebih baik, hatilah tunjangnya.

Untuk berubah, kita haruslah memperbaiki niat kita ke arah kebaikan. Niat itu juga haruslahlah kerana Allah S.W.T. Setiap niat ikhlas kerana Allah pasti hasilnya akan menjadi lebih baik. Jika niat itu kerana sesama manusia, ianya tidak akan berkekalan.


2 - Jangan Lupa Beribadah

Ini adalah point penting jika kita ingin berubah ke arah yang lebih baik. Kita haruslah memperbanyakkan ibadah serta jangan sampai lalai dengan urusan duniawi sehingga melupakan Allah S.W.T.

Jika ibadah kita goyah, sampai bila-bila pun kita takkan tenang dalam kehidupan kita ini. Bagaimana mungkin dapat kita berubah menjadi lebih baik? Untuk menjadi lebih baik, sis percaya semuanya bermula dari dalam diri sendiri.


3 - Sering Mendapatkan Motivasi Dan Inspirasi

Biasanya sesuatu yang dilakukan secara terus-menerus tanpa henti akan membuatkan kita rasa jemu ataupun bosan. Jadi, kita memerlukan motivasi untuk membangkitkan semangat dalam diri sehingga kita mendapatkan semangat untuk lebih yakin serta menjadi lebih baik.

Untuk mendapatkan motivasi, kita boleh mengikuti seminar, membaca buku, Al-Quran, menonton video di Youtube atau mengikuti kumpulan tertentu yang punya visi dan misi yang sama. Style sis senang je, tengok video-video di Youtube dan baca buku motivasi, ada masa, ruang dan peluang, jumpalah orang-orang yang hebat!

Related image
4 - Keluar Dari Zon Selesa

Untuk menjadikan diri kita menjadi lebih baik, kita tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa. Kita perlulah berani untuk melakukan sesuatu di luar zon yang kita berada sekarang.

Cari persekitaran yang baik di mana kita boleh bergaul dengan orang yang berfikiran sama dan mempunyai jiwa yang optimistik. Kita janganlah takut untuk menghadapi perkara baru kerana jika kita tak ubah, siapa lagi yang akan mengubah kita.


5. Mulakan Hidup Baru, Circle Baru

Ya, circle baru seperti kawan-kawan baru yang lebih positif dan baik. Itulah yang perlu kita buat. Jangan biarkan hidup anda diselubungi kawan lama sahaja, hal negatif dan lain-lain. Bertukar dan bertindak! Tolonggggg. Kalau tak buat ni, sampai bila pun kita akan rasa tepu untuk berubah.


6. Yakin Diri Dan Buat, Konsisten

Jangan kita ragu-ragu dengan diri sendiri. Kalau orang lain tak percayakan kita tak apa. Tapi jangan kita sendiri tak percaya diri kita sendiri. Kalau kita tak percayakan diri kita sendiri, maka siapa lagi akan percaya kita?

Apabila sudah berniat dan letak perkara positif di mindset (untuk berubah), maka terus buat dan konsisten ok!

Related image

Kesimpulannya, untuk menjadi lebih baik memang memerlukan sedikit usaha dan pengorbanan daripada kita. Jadi, marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik. Insyaallah hidup kita akan lebih tenang dan bahagia. Wallahualam.


Jom Baca juga:




Sabtu, 7 September 2019

11 PERSEDIAAN SEBELUM BERHENTI KERJA | MENJADI SURIRUMAH ATAU BISNES SENDIRI

12:16 PG 0
11 PERSEDIAAN SEBELUM BERHENTI KERJA | MENJADI SURIRUMAH ATAU BISNES SENDIRI
Rata-rata pembaca blog ini pastinya ingin bebas kewangan, kerja sendiri, berbisnes dan jauh di sudut hati, ingin sekali jadi surirumah, betul tak? Tapi ada beberapa perkara yang mengganggu di benak fikiran kan? Rin dah pernah alami semua tu waktu mula-mula nak berhenti kerja dahulu. Okey, jom Rin senaraikan masalah dan perkara yang mengganggu dalam kepala otak ni sebelum berhenti kerja dulu.

Masalah Dan Ketakutan Sebelum Berhenti Kerja


  • Takut duit tak ada dan duit simpanan habis. Aduh, siapa tak takut duit tak ada? Memang kalau tak ada simpanan pasti akan takut tak ada duit. Kalau ada simpanan, takut pulak kalau-kalau duit cepat habis semua sekali.
  • Takut tak ada income lain dan gaji bulanan dah. Sememangnya patut takut. Berhenti kerja memang takkan ada duit dapat bulan-bulan dah. Kecuali kita meniaga atau bekerja di rumah secara freelance, tetap, sampingan ataupun mempunyai pasif income yang lain.
  • Takut orang mengata kita tak kerja. Memang orang akan mengata kalau kita muda-muda tak kerja, kecuali jika kita kawen orang kaya. Memang tak payah kerja pun tak apa kot.  dan kecuali kalau anak kita ramai yang kita terpaksa jaga sendiri berbanding hantar pengasuh. Oleh itu, jika kita berhenti kerja, kena tahu apa aktiviti yang kita nak buat, adakah kita akan jadi bisneswomen, penulis atau apa kerjaya kita kelak?
  • Takut tak ada peluang duit yang boleh kita buat. Kita pasti nak jana pendapatan, cuma kita taktahu bagaimana. Itulah yang mungkin juga kita takutkan.
  • Takut bosan kat rumah sendiri, tak ada kawan, tak keluar rumah dan taktahu nak buat apa. Oleh itu, penting ada perancangan, jadual dan lain lagi.

Sebenarnya banyak lagi masalah bergantung kepada individu juga. Tambah-tambah yang duduk serumah dengan mak mertua, takut dia bising kata kita tak kerja pulak kan. Tapi kita kena bagi dia faham dan bagi dia tahu apa yang kita nak buat jika tak bekerja tu. Tak ada la dicopkan apa-apa pula nanti kan. Pastikan duit tu sentiasa masuk dan mengalir. Tapi mula-mula ni kena berkorban sikit. Sebab setiap permulaan pasti ada pengorbanan dan usaha yang lebih sikit.

Apapun yang anda lalui, pastikan rancang terlebih dahulu apa yang akan anda lakukan setelah berhenti kerja nanti. Ia memerlukan anda membuat persediaan yang cukup rapi sebelum berhenti kerja. 

Persediaan Sebelum Berhenti Kerja

#1  Kenalpasti Komitmen Bulanan Anda

Buatlah satu rekod atau buku untuk anda mencatatkan komitmen pada setiap bulan. Contoh, loan kereta, bayaran insurans, ptptn, personal loan dan lain-lain lagi. Setiap kali sudah bayar, jangan lupa tandakan. Dengan adanya checklist ini, mindset anda akan pastikan anda tidak tertinggal untuk membayar. Anda juga dapat mengagak berapa duit bulanan yang perlu anda jana untuk membayar komitmen anda sahaja.

#2  Elakkan Shopping Online 

Dahulu waktu bekerja, tiap bulan postlaju hantar parcle ke pejabat, Kali ini, sabar dulu. Bina empayar wang dahulu. Jangan buat tindakan yang sama asyik shoping macam dulu, sebab kali ni hujung bulan dah takkan dapat gaji sebab dah berhenti kerja. Kena sedar tu. Kena pandai urus tabiat berbelanja dahulu.

#3  Ada Simpanan Gaji Sebulan Dua

Kenapa perlu ada simpanan gaji atau duit simpanan sebagai backup? Jika anda ada komitmen bulanan, gaji tu akan tampung bayar komitmen anda selama sebulan dua ini. Sementara itu, dalam bulan anda sudah bebas masa dan tak bekerja, itulah masanya untuk anda generate income lain seperti bisnes online, jual makanan, buat khidmat menulis dan sebagainya.

#4  Motivasi Dan Inspirasi

Jadilah seorang yang bermotivasi dan inspirasi sebelum berhenti kerja. Semoga sifat tersebut kekal di dalam diri anda setelah bergelar suri rumah atau bisneswomen nanti. Bukan apa, apabila sendiri, pasti anda mudah give up jika bosan atau tiada idea apa nak buat. 

Sedangkan orang lain semakin berjaya dengan kerjaya masing-masing. Jadi, anda harus jadi seorang yang bermotivasi tinggi dan penuh inspirasi untuk mengukir kejayaan walaupun hanya bekerja di rumah. Jika bekerja keras, pasti anda akan lebih berjaya daripada rakan pejabat dulu.

#5  Jangan Terminate Insurans

Jangan sesekali terminate insurans anda, tanpa insurans anda mungkin kerugian pada hari berikutnya.  Insurans menyelamatkan anda kerana tidak perlu menanggung kos rawatan, anda juga sudah pasti tiada benefit medical kerana sudah berhenti kerja bukan? Jaga dan bayar insurans seperti biasa untuk pastikan insurans anda aktif dan bermanfaat suatu hari nanti.

#6  Fikirkan Aktiviti Pada Masa Depan

Sebelum berhenti kerja, fikirkan dahulu apakah aktiviti yang akan anda lakukan pada masa hadapan. WAJIB buat perancangan, sama ada nak berniaga, bekerja di rumah atau apa? Tolong cari masa untuk merangka perancangan anda. 

Planning:
Tempoh masa:
Tindakan:
Tindakan 1:
Tindakan 2: 
Tindakan 3: 

dan seterusnya. Pastikan anda benar-benar melakukan tindakan tersebut. Jika tidak, makin lambatlah masa untuk anda melakukan sesuatu dan berjaya. Jika tiada idea, apa yang ingin dibuat, meniaga dan sebagainya. Buatlah research di internet dan banyakkan membaca tentang peluang perniagaan dan pilihlah mengikut kemampuan anda.

#7  Bersangka Baik Dan Positif

Sebelum berhenti kerja, jangan berfikir negatif dan bimbang. Sentiasalah bersangka baik (husnuzon) dan positif. Fikirkan sesuatu yang baik dan menggembirakan. Katakan pada diri dan setiap doa anda, mungkin ada hikmah pilihan yang anda lakukan. Mungkin anda lebih berjaya apabila tidak makan gaji lagi dan mungkin lebih berkat rezeki yang anda perolehi nanti.

#8  Senaraikan Income Aktif Dan Pasif Anda

Walaupun belum mempunyai income pasif dan aktif yang akan anda lakukan selepas berhenti kerja nanti. Mula fikirkan dan senaraikannya. Anda akan lebih berusaha untuk menyambar peluang melakukan kerja atau sesuatu untuk income aktif dan pasif tersebut. 

Ia termasuk juga dengan hobi anda, cuba senaraikan semua hobi anda. Kenalpasti hobi dan kepakaran anda yang boleh buat duit. Sebagai contoh, melukis, menulis, mengambil gambar, mengarang, membuat blog, design website dan sebagainya. Tak salah anda cuba polish kepakaran anda dari sekarang. 

#9  Perbincangan Dengan Suami Dan Keluarga

Sebelum berhenti kerja, bincanglah terlebih dahulu dengan suami dan keluarga. Dapatkan juga restu mereka dan berikan idea apa yang anda boleh berikan selepas berhenti kerja. Pasti suami dan keluarga anda sangat supportive. 

Dia juga perlu memainkan tanggungjawab yang besar setelah anda berhenti kerja nanti. Sekurang-kurangnya perlu support untuk membayar komitmen sementara anda akan stabil semula.

#10  Bersedia Buat Kerja Rumah

Apabila sudah berhenti kerja atau sudah mula membuat kerja rumah, anda perlu ada kekuatan dan keseronokan. Cuba bayangkan, rutin harian buat kerja office, tiba-tiba kena buat kerja rumah pula. Jangan merungut tetapi jadikanlah ia hobi atau pahala harian anda. Suri rumah atau kerja di rumah pun dapat himpun pahala lebih, tahu tak?

#11  Bersikap Profesional Dan Bekerjaya

Walaupun anda sudah bersedia untuk berhenti kerja, janganlah jadi seperti kanak-kanak atau tak keruan. Teruskan menjadi seorang wanita bekerjaya dan profesional. Siapa sangka dengan sikap anda, anda mampu mempunyai syarikat sendiri satu hari nanti! Rezeki datang tak disangka. 

Walaupun berhenti kerja, mana tahu jika anda sudah mulakan bisnes kecil-kecilan sendiri dan kemudiannya menjadi ceo menguruskannya dan mampu mengendalikan pekerja di bawah anda pula. Menarik bukan? oleh itu, kekalkanlah sikap anda semasa bekerja dahulu.😍

Memang ramai yang kata nak resign jangan ikut emosi, Itu betul. Tapi kalau nak seribu daya, taknak seribu daya. Buat sesuatu yang anda nak. Kena berani. Jangan menyesal di kemudian hari, Jika anda sudah bersedia utk fight jadi lebih baik dan berjaya, buatlah keputusan anda yang terbaik!

Itulah dia 11 persediaan sebelum berhenti kerja yang perlu anda lakukan. Sama ada berhenti kerja untuk meniaga sendiri atau menjadi surirumah, sama sahaja. Niat nawaitu penting, insyallah semuanya baik-baik.  



Jom Baca Juga